Dalam industri penternakan burung walit, Kos Modal (Capital cost) adalah faktor yang perlu dipertimbangkan pada peringkat awal perlaksanaan.
Setelah itu, ia hanya melibatkan kos operasi yang minima iaitu kos bayar bil elektrik/air, sekitar ~RM50-100 sebulan.
Hasil daripada soal-selidik peserta-peserta kursus di luar bandar, adalah didapati masalah utama yang dihadapi adalah isu kos modal. Untuk menyelesaikan isu ini, saya cuba mencari formula dan menyelidik cara-cara untuk membangunkan sebuah rumah burung yang kos efektif. Dan yang paling penting, ia juga dapat menunjukkan prestasi yang tinggi untuk menarik burung walit secara maksimum.
Sekitar bulan Mac 2010, saya melabur wang peribadi untuk mendirikan sebuah rumah burung kos efektif yang tingginya satu tingkat dengan dimensi 20' x 80'. Kos keseluruhannya adalah ~RM70,000. Ini projek perintis (pilot project) saya dalam usaha untuk mengkaji dan mencari jawapan bagi mengatasi isu tersebut.
Dengan teknologi yang betul dan hasil R&D selama beberapa tahun, ia terbukti berjaya dan berupaya menghasilkan ~ ratusan sarang burung dalam masa lebih kurang satu tahun.
Adalah diharapkan projek ini dapat dijadikan "blue print" oleh pihak yang berkenaan seperti agensi-agensi kerajaan dalam program-program pertanian yang berimpak tinggi sebagai usaha dan inisiatif untuk metranformasi status sosial ekonomi penduduk luar bandar di negeri Sarawak yang diberkati.